beras
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan pasukan penguatkuasa khas untuk menguruskan industri padi.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad (Barisan Nasional) berkata, pasukan tersebut berperanan memantau dan mengawasi pengeluaran produk berkaitan dengan padi seperti beras, memastikan keluaran lebih telus dan terancang, serta melindungi hak pesawah padi.

Dalam masa yang sama beliau menggesa supaya kerajaan mengetatkan regulasi dan memastikan tindakan undang-undang tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan 180 stok beras.

“Tindakan susulan oleh pasukan Ops Jamin adalah perlu memastikan stok beras yang ditemui dimanfaatkan kepada rakyat.

“Selain itu, perlu dipertimbangkan tindakan undang-undang susulan terhadap mereka yang menyorok bekalan beras ini sebagai pengajaran kepada yang lain,” katanya pada sidang Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Noraini berkata, penemuan stok bekalan beras baru-baru ini membuktikan wujud peluang untuk tindakan sabotaj daripada pihak pengilang dan pemborong.

Sehubungan itu, beliau berpendirian kerajaan perlu menyiasat secara mendalam dan adil untuk menentukan punca serta pihak yang bertanggungjawab.

Isnin lalu, kegiatan sebuah kilang di Alor Setar menyorok sebanyak 180 tan metrik beras putih tempatan (BPT) dibongkar menerusi Task Force Khas Op BPT.

Sitaan dilakukan setelah kilang terbabit didapati menyorok bekalan beras tersebut dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen. – MalaysiaGazette