Belanjawan 2024
Sebahagian penjawat awam mengikuti pembentangan Belanjawan 2024 secara langsung yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen ketika tinjauan di sekitar Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan ditingkatkan kepada RM3,700 tahun depan berbanding kadar sedia ada RM3,100.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar minimum STR iaitu untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

“Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300.

“Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500 ringgit yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November ini dan permohonan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, pemberian STR akan memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa di negara ini.

Secara keseluruhan, katanya, peruntukan STR meningkat sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu RM8 bilion tahun ini kepada RM10 bilion tahun depan.

“Hikmah penyasaran semula subsidi, membolehkan kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui STR,” jelasnya.

Berhubung Sumbangan Asas Rahmah (SARA), beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan manfaat inisiatif tersebut kepada 700,000 penerima tahun depan dengan nilai RM100 sebulan selama 12 bulan.

Sebagai perbandingan, seramai 200,000 ribu menerima bantuan SARA tahun ini di mana nilai RM100 dikreditkan ke dalam MyKad mereka setiap bulan selama enam bulan untuk membeli barangan keperluan asas di kedai-kedai runcit. – MalaysiaGazette