KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus mulai tahun depan berbanding enam peratus ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.
“Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.
Anwar menambah, pelaksanaan langkah itu telah mengambil mengambil kira input pihak-pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan.
“Kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran permulaan awam (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barang bernilai tinggi pada kadar 5 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.
Berhubung cukai minimum global, Anwar memberitahu, kerajaan dijangka akan melaksanakannya pada 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.
Secara keseluruhan, beliau menjelaskan, beberapa langkah reformasi percukaian yang akan dilaksanakan tahun depan bagi meluaskan asas hasil negara itu tidak membebankan majoriti rakyat. – MalaysiaGazette