Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti Madani di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, program tersebut diwujudkan demi merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.

Katanya, sebanyak lima sektor tumpuan dalam program berkenaan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

“Setiap komuniti, baik di kampung mahupun di bandar, akan diberi kebebasan bermusyawarah untuk memutuskan sektor tumpuan pilihan mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata daripada peruntukan berkenaan, RM1 bilion akan digunakan di bawah Dana Komuniti Madani(DKM) bagi menyediakan geran antara RM50,000 RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM60 juta bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan.

Katanya, RM50 juta daripadanya akan diagihkan kepada agensi yang berpotensi mengetengahkan karya seni dan sastera manakala baki RM10 juta diberikan kepada kerajaan negeri untuk memperkasakan aktiviti seni dan budaya tempatan.

“Sastera dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik cintakan negara sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai murni dalam jiwa bangsa.

“Bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera negara, kerajaan dengan menyediakan RM50 juta kepada agensi yang berpotensi mengetengahkan karya seni dan sastera, mempergiatkan persembahan teater warisan dan memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia,” katanya lagi.

Selain itu, sebagai menyokong produk kraftangan tempatan, kerajaan memberi kelonggaran khas bagi perolehan sehingga RM200,000 untuk setiap pesanan kepada usahawan kraftangan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.-MalaysiaGazette