KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari berbanding 51 hari sebelum ini.
Selain itu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Halal Development Corporation (HDC) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menerajui usaha sebagai memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa yang sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan kajian serta kreativiti dan inovasi ekonomi Islam.
Menurutnya, usaha berkenaan diterajui oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dengan penglibatan bersama MIFC dan industri.
Tambah beliau, sebanyak sembilan institusi kewangan akan menawarkan program khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal.
Usaha tersebut selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 yang menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada Islamic Securities Selling and Buying (ISSB) mulai tahun taksiran 2024.
“Ini bagi meningkatkan keseluruhan jumlah dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah melalui penglibatan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB selain memastikan layanan setara yang diberikan bagi transaksi Securities Borrowing and Lending (SBL),” jelasnya.-MalaysiaGazette