KUALA LUMPUR – Masa depan UMNO akan lebih selamat sekiranya ada satu rangka tindakan jelas yang menjangkaui hayat serta kepentingan tokoh dan individu.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, masa depan parti hendaklah berasaskan rangka tindakan tersebut dan bukannya personaliti.
Menurut beliau, rangka tindakan atau pelan aspirasi rakyat dan negara itu haruslah setaraf dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah digubal hasil perbincangan dan perbahasan ramai.
“Kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan negara telah perlu diganti dengan suatu wawasan baharu berikutan rusuhan kaum pada Mei 1969.
“Pelan baharu ini haruslah dibina atas asas kukuh yang telah diwariskan oleh kepimpinan negara sebelum ini sejak kemerdekaan negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. – MalaysiaGazette