UMNO Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Generasi muda yang berilmu dalam UMNO berupaya menyumbang terhadap usaha memperkukuhkan perjuangan parti.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, masa depan parti bergantung kepada kehadiran anak muda yang berminat memahami perjuangannya.

“Perjuangan harus jelas segala aspeknya dan tersusun dalam satu pelan tindakan yang berjangka panjang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mengimbau kembali, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memberitahu, beliau tergerak menyertai UMNO pada 1972 kerana kepimpinan parti yang berpandu kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurutnya, mereka berusaha membangunkan rakyat dan negara melalui matlamat serampang dua mata iaitu penyusunan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira bangsa.

“Satu hasil DEB ialah pembangunan mantap ekosistem ekonomi dan kewangan Islam dengan penubuhan Bank Islam dan Takaful Malaysia pada akhir 1980-an.

“Kini sistem perbankan Islam dan takaful turut wujud bersama sistem perbankan dan insuran konvensional,” jelasnya. – MalaysiaGazette