Keratan layar tangisan kanak-kanak Palestine.

KUALA LUMPUR – Ratapan seorang kanak-kanak Palestin yang kehilangan adik yang mati dalam pengeboman Israel ke atas wilayah Gaza meruntun jiwa ratusan ribu pengguna media sosial.

Kanak-kanak lelaki yang meratap kesedihan mempersoalkan sikap berdiam diri masyarakat Arab dan Islam yang seolah-olah terus membiarkan Israel melakukan pembunuhan di Gaza.

Beliau dalam ratapan hiba bertanya, sama ada orang Arab dan umat Islam hanya akan terus melihat Israel melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.

Kanak-kanakĀ  yang tidak dapat menahan rasa sebak dengan tragedi yang menimpa menganggap orang Arab dan Islam sebagai pengkhianat kerana terus membiarkan serangan ganas Israel.

“Damailah kamu adik perempuanku, kematianmu menghancurkan hatiku. Luluh jiwaku. Aku tak pernah tinggalkan kau walau sedetik.

“Mana orang Arab? Mana orang muslim? Mana kamu semua? Siapa yang akan beri kamu syafaat pada hari akhirat? Pergilah kamu ke neraka!

“Kami di sini berjihad dan kamu hanya melihat? Mana kamu semua? Mana kamu wahai pengkhianat?” soalnya yang kelihatan ditenangkan oleh dua orang dewasa.

Video yang tular itu dikongsi oleh pengguna TikTok dari seluruh dunia dengan ramai antara mereka menyatakan rasa kesal kerana pemimpin dan umat Islam hanya mendiamkan diri dengan serangan ganas Israel.

Malah ramai daripada mereka rasa bersalah kerana tidak mampu berbuat apa-apa bagi menghalang Israel.

“Saya merasa bersalah kerana tidak mampu untuk melakukan apa-apa terhadap rakyat Palestin,” kata Ali Switch.

“Ya Allah, sakitnya hati ini rasa macam diri tidak berguna. Maafkan kami, saudara kami di Palestin kerana tidak mampu buat apa-apa selain berdoa,” kata Zhi Zhi.

“Ya Allah, bahagian dia tanya di mana Muslim, aku rasa diri aku tidak berguna sebab tidak mampu nak buat apa-apa. Ya Allah berikan petunjuk dan jalan kepada kami,” kata Qurratu Aini.

“Masyarakat dunia benar-benar mengecewakan rakyat Palestin,” kata Sara Moon.

Hari ini genap seminggu keganasan berlaku di Gaza dan Israel selepas pejuang pembebasan Palestin, Hamas melakukan serangan ke atas negara haram tersebut.

Israel membalas serangan berkenaan dengan menyekat elektrik dan bekalan air ke Gaza selain melakukan serangan udara.

Selain mengebom rumah penduduk yang disyaki sebagai kediaman askar Hamas regim tersebut dilaporkan turut memusnahkan hospital.

Regim tersebut turut memberikan tempoh 24 jam untuk penduduk di utara Gaza berpindah bagi melakukan operasi ketenteraan dari darat.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sejumlah 2,215 mati dan 8,714 cedera sementara lebih 1,000 kematian di pihak Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast