Datuk Hakimah Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam berjumlah RM1.9 bilion kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) jelas mencerminkan Kerajaan Perpaduan komited dan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusof berkata, peruntukan yang disediakan ini mampu memperkasakan lagi umat Islam di negara ini serta dapat memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang telah menyediakan peruntukan keseluruhan yang wajar berjumlah RM1.9 bilion khusus untuk manfaat pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di seluruh negara.

“Peruntukan RM1.9 bilion ini antaranya adalah bagi menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam iaitu sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz yang semuanya berjumlah RM150juta,” katanya menerusi kenyataan.

Hakimah menambah, JAKIM bagi pihak golongan agamawan seramai 70,000 orang yang terdiri daripada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan khas sebanyak RM700 setiap seorang dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta ringgit.

Katanya, kerajaan terus dilihat prihatin kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dengan memberikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua SAR yang berdaftar di bawah penyelarasan JAKIM,” katanya. – MalaysiaGazette