KUALA LUMPUR – Masalah rumput tercabut di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang menggunakan rumput Zeon Zoysia dijangka pulih menjelang aksi kelayakan Piala Dunia.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkata, tompokan di beberapa tempat bertentangan grandstand kukuh akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah di kawasan tersebut.
“Namun, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana PSM telah menggunakan ‘grow light’ bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu tetapi ia tetap tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi.
“Bagaimanapun, PSM yakin perkara tersebut akan di atasi dan tompokan tertentu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil bakal pulih sepenuhnya menjelang Kelayakan Piala Dunia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Permukaan padang yang menggunakan rumput baharu, Zeon Zoysia perlawanan antara Malaysia dan India pada kejohanan Pestabola Medeka malam tadi ‘koyak’ apabila padang tersebut digunakan lebih awal daripada sepatutnya.
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menaja rumput itu berkata, padang tersebut masih memerlukan masa dua hingga tiga bulan sebelum ia sedia digunakan.
Menurut PSM, standard tempoh masa penyediaan secara rapi rumput padang seharusnya mengambil masa 12 bulan untuk keseluruhan proses siap tetapi pihaknya hanya mempunyai tempoh lapan bulan.
Malah katanya, keadaan hujan sepanjang minggu lepas juga tidak membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu.
“Disebalik beberapa tompokan rumput yang tercabut, PSM berpuashati dengan keupayaan sistem perparitan baharu dan kemajuan dalam padang tersebut.
“PSM akan menggunakan sepenuhnya masa satu bulan akan datang untuk memastikan persediaan lengkap padang menjelang Kelayakan Piala Dunia bagi Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette