KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemui maut ketika menunggang basikal dalam kejadian di Jalan Ukay Perdana, Ampang, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Mohd Azam Ismail berkata, mayat mangsa berusia 62 tahun itu ditemui oleh orang awam.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang bersendirian sedang dalam perjalanan dari Ukay Perdana menuju ke arah Kampung Pasir.

“Mangsa dipercayai telah hilang kawalan ketika menuruni jalan yang sedikit berbukit dan kemudian terjatuh dari basikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Azam, semakan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungj Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-44010. – MalaysiaGazette