KUALA LUMPUR – Bekas ketua pemeriksa senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Iraq, Scott Ritter menjangkakan Israel akan gagal dalam usaha menyelamat lebih 120 tebusan yang diculik pasukan pejuang Hamas.
Ritter berkata, operasi ‘pembebasan’ yang mahu dilakukan oleh Israel melalui serangan darat tersebut disifatkan sebagai misi mustahil.
“Israel akan gagal. Tebusan akan mati. Tentera Israel akan dibunuh. Satu-satunya peluang mereka untuk bertahan adalah untuk merundingkan pertukaran tahanan.
“Jika anda tidak bersedia untuk berunding, maka jangan beritahu saya anda mengambil berat tentang tebusan. Anda hanya peduli tentang balas dendam,” katanya melalui platform X.
Media antarabangsa melaporkan Israel akan melakukan operasi dari darat dan telah menempatkan aset ketenteraannya di sempadan Gaza.
Regim itu turut memberi arahan untuk penduduk Gaza meninggalkan kawasan utara wilayah itu dalam tempoh 24 jam.
Ritter berkata, Hamas telah menjangkakan tindakan Israel dan ia merupakan satu perangkap untuk rejim tersebut untuk masuk ke Gaza.
“Di mana Hamas memanipulasi emosi Israel untuk menentukan keputusan. Israel akan kalah dalam pertarungan ini.
“Hamas telah bersedia untuk ini selama bertahun-tahun. Memainkan kemungkinan tindakan untuk mencapai hasil tertentu,” katanya.
Hamas melakukan serangan mengejut terhadap Israel kira-kira seminggu lalu dan berjaya menculik ratusan pegawai tinggi dan askar regim zionis tersebut.
Tindakan Hamas menculik tebusan adalah untuk ditukarkan dengan pejuang mereka yang ditahan Israel.-MalaysiaGazette