KUALA LUMPUR – Tindakan McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada tentera Zionis tidak mencerminkan nilai atau amalan McDonald’s Malaysia.
Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd pemilik francais McDonald’s Malaysia berkata, apa yang dilakukan oleh McDonald’s Israel merupakan satu tindakan ‘pasaran bebas’.
“Tambahan pula, keputusan unilateral yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global.
“Tindakan pengendali McDonald’s di Israel menjadi contoh tindakan individu tersebut; ia bukan keputusan global dan tidak diluluskan oleh mana-mana pengendali tempatan lain,” tegasnya.
Menurutnya, McDonald’s Malaysia telah menjadi entiti 100 peratus milik Muslim sejak pengambilalihan oleh Lionhorn Pte. Ltd di bawah syarikat Kumpulan Reza daripada Arab Saudi pada 2017.
Menurutnya, McDonald’s Malaysia juga telah menyumbangkan pembayaran zakat dan terus melakukannya setiap tahun.
“Sehingga 2023 kami telah menyumbang lebih RM12 juta dalam pembayaran Zakat kepada 14 negeri di seluruh Malaysia, menyokong komuniti yang kurang bernasib baik.
“Di McDonald’s Malaysia, kami komited dalam usaha kami dalam berkhidmat dan memberi kembali kepada komuniti tempat kami beroperasi, di samping menggaji beribu-ribu bakat tempatan dan melabur dalam ekonomi dan komuniti tempatan,” katanya.
Sebelum ini tular McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada tentera Isreal yang kini berperang dengan pejuang pembebasan Palestin, Hamas.
Rata-rata netizen mengecam tindakan McDonald’s Israel yang dianggap bersengkongkol dengan regim yang mengamalkan penjajahan, penindasan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestine.
Terdapat ancaman untuk memboikot McDonald’s daripada masyarakat antarabangsa susulan itu tersebut.-MalaysiaGazette