Dewan Bahasa dan Pustaka

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt, German yang dijadual berlangsung dari 18 Oktober hingga 22 Oktober.

“Selaras dengan pendirian kerajaan dalam konflik Palestin – Israel pada ketika ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Pengarah pesta buku itu, Juergen Boos sebelum ini dilaporkan berkata: “Mahu menjadikan suara Yahudi dan Israel kelihatan terutamanya di pesta buku” dan mengecam tindakan Hamas menyerang negara Zionis itu.

Sebelum ini penganjur turut dijadual untuk memberi anugerah sastera LiBeraturpreis 2023 kepada penulis berketurunan Palestin, Adania Shibli bagi novelnya yang bertajuk Minor Detail.

Adania Shibli

Anugerah berkenaan diberikan kepada penulis wanita dari Afrika, Asia, Amerika Latin atau dunia Arab.

Persatuan LitProm yang menyerahkan hadiah telah memuji novel tersebut sebagai “karya seni yang dikarang dengan teliti yang menceritakan tentang kuasa sempadan dan apa yang dilakukan oleh konflik ganas kepada dan dengan orang ramai”.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, LitProm mengumumkan penangguhan majlis penganugerahan kepada penulis “kerana perang yang dimulakan oleh Hamas, di mana berjuta-juta orang di Israel dan Palestin menderita”.

Dalam surat terbuka, ditandatangani oleh lebih 350 pengarang menegur penganjur sebagai mempunyai “tanggungjawab untuk mewujudkan ruang bagi penulis Palestin untuk berkongsi fikiran, perasaan, renungan mereka tentang sastera melalui masa yang dahsyat dan kejam ini, bukan menutupnya”.

Surat itu ditandatangani termasuk penulis novel Ireland Colm Tóibín, pemenang Pulitzer Amerika-Libya Hisham Matar, novelis British-Pakistan Kamilia Shamsie dan ahli sejarah British William Dalrymple.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam sikap kuasa besar dan negara barat yang membiarkan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Katanya, Malaysia akan melakukan apa sahaja tindakan yang perlu untuk menyelamatkan rakyat Palestin daripada terus menjadi mangsa kekejaman Israel.

Perdana Menteri berkata, sudah sampai ketikanya kerajaan Malaysia dengan dukungan negara lain menghentikan kezaliman Israel ke atas Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast