JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskan dua pegawai kanan jabatan imigresen Johor atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hayati Mat memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Penolong Pengarah Jabatan Imigresn Johor, Noryati Abu Bakar, 53, dan Pegawai Imigresen Kanan, Haris Fadzilah Abu Bakar, 51.
Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan tentang kemasukan migran yang disenaraikan adalah tidak sah.
Beliau berpendapat, prosedur pengeluaran migran tersebut adalah mengikut tatacara yang dibenarkan oleh Jabatan Imigresen.
Mahkamah juga berpendapat, sekiranya ada elemen kesalahan lain yang cuba diterap oleh pihak pendakwaan seperti salah laku atau perbuatan rasuah namun ia bukan dalam lingkungan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Noryati dan Haris Fadzilah bersama tiga yang lain didakwa bersama-sama menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran di Lot 21, Jalan Feri, di Pelabuhan Pasir Gudang kira-kira jam 12 tengah hari pada 15 Jun 2020.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seramai 21 saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary.
Noryati diwakili barisan peguam Latheefa Koya dan Zaid Malek manakala Haris Fadzilah diwakili peguam Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir, Md Ridzuan Othman dan Khairulnadiah Hasni Yusoff.
Pada tahun lalu dan awal tahun ini, tiga tertuduh lain iaitu buruh binaan M. Amir Nasir, 64; ejen tiket feri, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan, 57 dan pengawal keselamatan di Terminal Feri Pasir Gudang, Razali Mohamad, 58, dijatuhkan hukuman penjara antara dua hingga empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan sama. – MalaysiaGazette