SETIAP orang pasti pernah mengeluh sakit-sakit badan dan kekejangan dari semasa ke semasa. Tetapi jika ia kerap berlaku, anda berkemungkinan memerlukan bantuan profesional untuk memperbaiki postur anda yang buruk.
Ruang kerja yang tidak dirancang dengan baik sehingga menyebabkan leher perlu sentiasa membongkok ke depan ketika menggunakan telefon pintar atau tablet, selain pergerakan berulang seperti membongkok dan memusingkan pinggang sepanjang hari ketika menjaga anak-anak dan memastikan urusan rumah berjalan lancar adalah senario biasa dalam kehidupan seharian.
Malangnya, tabiat tersebut boleh menyebabkan pelbagai kesakitan dan kesengsaraan yangakhirnya menjadi bertambah buruk sehingga membawa kepada kesakitan muskuloskeletal kronik, kata Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Komplementari dan Alternatif di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Janice Chan Vey Lian. Bersempena Hari Tulang Belakang Sedunia 2023 yang merupakan acara tahunan bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan tulang belakang, beliau memberi sedikit penerangan untuk menghentikan (S.T.O.P.) sakit belakang.
S = Sit Up Straight and Stretch! (Duduk tegak dan lakukan regangan!)
Faktor-faktor utama berkaitan isu ini adalah postur dan tabiat gaya hidup yang buruk. Kita selalu tidak menyedari akan postur badan dan cara kita melakukan tugas seharian seperti ketika menggunakan peranti digital sehinggalah kepada bagaimana kita mengangkat benda berat. Ditambah dengan situasi di mana berlakunya gangguan gaya hidup seperti bekerja atau belajar dari rumah dan tidak bersedia dengan perubahan gaya hidup serta kerjaya susulan pandemik. Untuk mencegah kesakitan muskuloskeletal, mental kita perlu menyedari keadaan postur kita. Walaupun kedengaran mudah, duduk tegak dan melakukan regangan dengan kerap boleh membantu.
T = Take a break (Berehat)
Tema Hari Tulang Belakang Sedunia 2023 ialah ‘Gerakkan Tulang Belakang Anda’. Walaupun kebanyakan orang sudah memahami kepentingan untuk sentiasa bergerak, ia perlu diterjemahkan ke dalam tindakan. Oleh itu, Janice menyarankan anda menetapkan peringatan berjadual untuk bangun dan menggerakkan tulang belakang.
O = Organise (Mengatur)
Janice berkongsi beberapa petua untuk mengatur ruang rumah dan kerja supaya anda mendapat postur badan yang lebih baik:
Laraskan ketinggian skrin komputer anda pada paras mata menggunakan buku atau kotak yang kukuh.
Besarkan paparan dan cerahkan skrin supaya anda dapat melihat dan membaca tanpa perlu membongkok ke depan.
Gunakan kerusi dengan sokongan belakang yang baik yang diletakkan pada ketinggian yang membolehkan tapak kaki anda merata di lantai dengan lutut dibengkokkan pada sudut 90 darjah.
Gunakan bangku bagi mengelak daripada bercangkung semasa berkebun atau memandikan bayi.
Letakkan barang-barang keperluan di tempat yang mudah dicapai supaya tidak perlu selalu membongkok atau memusingkan pinggang. Contohnya, ibu bapa kepada bayi dan anak-anak kecil boleh duduk di atas katil semasa menukar lampin. Tidaklah perlu berdiri dan membongkokkan pinggang untuk melakukannya.
Uruskan beban berat dengan tidak mengemas banyak pakaian ke dalam beg dan/atau menggunakan beg yang diperbuat daripada bahan yang lebih ringan.
Agihkan berat sama rata. Secara umum, Janice menasihati untuk membawa beban kurang daripada 10 peratus berat badan kita dan diagihkan sama rata pada kedua-dua bahu. Apabila dipakai dengan betul, beg galas belakang membolehkan kedua-dua bahu menanggung beban tersebut. Apabila membawa beg tangan atau beg jinjing, keraplah bertukar tangan yang menjinjingnya.
Bawalah beban yang lebih kecil atau lebih ringan. Jika bebannya besar dan berat, agihkan dan angkatlah beberapa kali.
Gunakan postur yang betul – angkat menggunakan lutut, letakkan benda yang selalu digunakan sehampir yang boleh dan tempatkan benda berat di aras yang lebih tinggi.
Belajar teknik kecergasan dan bersenam yang betul dengan bantuan jurulatih. Jika perlu, dapatkan nasihat mereka untuk mengubahsuai cara anda bersenam bagi mengelakkan ketegangan atau kecederaan.
P = Professional Help (Bantuan Profesional)
“Ramai orang yang datang berjumpa ahli kiropraktor mengalami masalah seperti skoliosis dan sakit belakang. Kami membantu mengenal pasti masalah yang mungkin berlaku dan mengesyorkan cara-cara untuk meningkatkan kesihatan tulang belakang. Antaranya melakukan penjajaran tulang, membantu memperbaiki pergerakan, mengoptimum cara anda melakukan tugasan sehari-hari atau mengubah aturan ruang kerja anda bagi mengurangkan tekanan kepada badan secara keseluruhan dan mencegah kecederaan,” terang Janice.
Beliau berkata, ramai orang mencari penyelesaian yang cepat tetapi perlu difahami yang kebanyakan jenis kesakitan muskuloskeletal berlaku selepas satu tempoh masa yang panjang. Oleh itu, untuk menanganinya perlukan masa juga. Berita baiknya ialah perubahan-perubahan ini tidak semestinya drastik atau mahal. Saya selalu menyarankan penyesuaian kecil dengan hasil yang segera dan boleh bertahan yang anda boleh lakukan sekarang dengan apa yang ada di sekeliling rumah.”
Akhir sekali, beliau menambah, “Perkara paling penting adalah untuk pesakit bercakap mengenai masalah, keperluan dan harapan mereka dalam rawatan. Sering kali pesakit enggan bercakap dan ini akan memberi kesan kepada hasil rawatan. Oleh itu, nasihat nombor satu saya adalah “Pastikan anda jelas dengan apa yang anda mahu dan jika anda tidak pasti, teruskan bertanya”.
Ingin tahu tentang pakar kiropraktik?
Jika anda tidak pernah berjumpa ahli kiropraktor, berikut adalah beberapa maklumat berguna untuk anda:
Mengapa orang berjumpa ahli kiropraktor?
Dalam kalangan orang dewasa yang lebih muda, skoliosis adalah aduan yang biasa diterima, manakala bagi pesakit yang lebih tua isu biasanya adalah sakit belakang. Secara keseluruhan, ramai orang datang dengan sakit belakang yang tidak dapat ditentukan, terutamanya mereka yang sudah lama menderitainya dan tidak mendapat kelegaan mencukupi daripada pilihan lain. Ahli kiropraktor boleh membantu menangani masalah yang berlarutan begini dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan.
Bagaimana seorang ahli kiropraktor boleh membantu dan apakah ia sama dengan ahli fisioterapi?
Ahli kiropraktor dapat membantu melegakan pelbagai kesakitan muskuloskeletal. Ia termasuklah melakukan penjajaran tulang belakang, membantu memperbaiki pergerakan, mengoptimum cara anda melakukan tugasan sehari-hari atau mengubah aturan ruang kerja anda bagi mengurangkan tekanan kepada badan secara keseluruhan dan mencegah kecederaan. Mereka lebih menumpukan kepada masalah muskuloskeletal manakala ahli fisioterapi lebih kerap terlibat dalam pemulihan/rehabilitasi dan latihan. Kedua-dua amalan ini boleh berfungsi bersama bergantung kepada keperluan pesakit.
Bagaimana untuk mencari ahli kiropraktor?
Mereka berdaftar dan diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia dan kesemua pengamal berlesen akan disenaraikan di portal rasmi Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari tidak lama lagi.
Apa yang anda boleh harapkan dari sesi pertama?
Ahli kiropraktor akan melakukan penilaian sejarah perubatan yang merangkumi soalan psikososial untuk mengetahui dengan lebih baik tentang kehidupan peribadi dan kerjaya anda yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan muskuloskeletal anda. Anda akan diberikan persalinan rawatan dan pakar kiropraktik akan menjalankan pemeriksaan fizikal. Ini termasuklah memerhati cara anda berjalan dan menguji julat pergerakan anda. Mereka juga akan menjalankan beberapa ujian untuk memberi tekanan kepada sendi dan menilainya bagi memastikan jika ada sebarang sekatan. Berdasarkan pemeriksaan fizikal, kemungkinan punca akan dikenalpasti dan ditangani. Sejarah perubatan anda akan turut diambil kira kerana keadaan kronik tertentu boleh memberi kesan kepada jenis-jenis intervensi.
Apa yang perlu saya bawa?
Bawalah apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan sejarah perubatan anda seperti ujian darah atau imbasan terkini, yang dapat membantu ahli kiropraktor mencerapnya.
Berapa sesikah yang diperlukan?
Jumlah sesi rawatan termasuklah kekerapannya bergantung kepada keperluan individu. Dalam keadaan yang teruk, seperti selepas kemalangan atau kecederaan sukan, matlamatnya adalah pemulihan. Oleh itu, sesi rawatan adalah lebih kerap. Sesi-sesi rawatan orang lain mungkin berjarak dalam tempoh waktu yang lebih panjang.
Artikel sumbangan International Medical University