KUALA LUMPUR – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia hari ini mengggesa agar negara-negara Teluk Arab termasuk Arab Saudi untuk menghentikan perjanjian normalisasi dengan Israel.
Justeru itu, ketua kaukus tersebut, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Malaysia harus terus melaksanakan dasar diplomasi agresif selain berterusan mengecam tindakan rejim Israel sebagai aparteid.
“Perdana Menteri sudah jelaskan pendirian Malaysia, pertamanya apa yang berlaku di Palestin ialah politics of dispossession iaitu menyah hak dan tanah rakyat Palestin. Kita mahu hak dan tanah yang dirampas dikembalikan kepada rakyat Palestin.
“Disebutkan tindakan oleh kerajaan, antaranya Menteri Luar akan ke Jeddah untuk berbincang dengan rakan-rakan negara Arab mengenai sidang khas OIC, PM juga akan ke sana disebut pada hari Khamis untuk bertemu dengan Putera Muhammad Salman, juga dengan negara-negara lain seperti UAE, Qatar, Mesir, Turki dan lain-lain.
“Penegasan untuk sesuatu yang lebih segera dilakukan selain melakukan apa saja yang perlu untuk hentikan tindakan rejim Israel, pastikan ada sempadan dibuka, diberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang sekarang dalam keadaan perang di Gaza,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Syed Ibrahim berkata demikian mengulas usul khas yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berkata, perbincangan dengan wakil-wakil negara yang terlibat telah menunjukkan keresahan yang sedang meluap dan jalan buntu kerana Israel diberikan sokongan penuh oleh Amerika Syarikat dan Eropah. – MalaysiaGazette