KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dinasihatkan supaya turun padang untuk melihat sendiri kedaifan sekolah-sekolah di pedalaman khususnya kategori 2 dan 3 di Sabah dan Sarawak.
Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, perbezaan antara sekolah luar bandar dan pedalaman adalah seperti bumi dengan langit.
Menurut beliau, isu-isu yang dihadapi termasuk air bersih, elektrik, asrama desa, blok sekolah, rumah guru, internet dan kekurangan guru.
“Diharap YB Fadhlina sanggup tidur di rumah panjang untuk melawat sekolah pedalaman. Ini kerana guna bot ke pedalaman ambil masa lama.
“Tidak pasti (bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr) Radzi Jidin sudah sampai ke sekolah pedalaman P3 SK Balar Gua Musang Kelantan. Itu negerinya sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengulas mengenai peruntukan RM58.7 bilion bagi Kementerian Pendidikan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Beliau menambah, Kementerian Pendidikan seharusnya fokus dalam usaha menambah baik sekolah pedalaman agar tiada lagi yang berada dalam kategori P1, P2 dan P3.
Mohd Puad turut bertanya tentang perkembangan program Transformasi Sekolah Pedalaman yang pernah dilancarkan di Beluran, Sabah, dahulu.
“Saya pernah jumpa asrama desa di mana murid tidur atas pangkin kayu.
“Bilik darjah tidak ada dinding pemisah dengan bilik darjah lain. Rumah guru daif dan air perigi yang bau busuk,” jelasnya.
Beliau berkata, Menteri Pendidikan perlu memulakan dahulu melawat sekolah pedalaman walaupun terpaksa berjalan kaki.
Mohd Puad mendakwa, ada segelintir pegawai pendidikan daerah (PPD) yang malas turun ke bawah dan tidak tahu apa yang berlaku di pedalaman.
“Pernah terjadi Kementerian Pendidikan pulangkan duit RM800 juta yang tidak dibelanja kepada Perbendaharaan.
“Bila guru besar minta peruntukan dijawab tidak ada duit. Tetapi pulang duit RM800 juta,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap, Fadhlina dapat melakukan transformasi menyeluruh termasuk membetulkan budaya kerja pegawai pendidikan di pejabat pendidikan daerah, negeri dan Bahagian Pembangunan kementerian dalam isu sekolah pedalaman. – MalaysiaGazette