politik UMNO
Roslan Shahir Mohd Shahir

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa cuak setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pernah mempelawa Pas untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir membuat andaian itu ekoran reaksi negatif yang diberikan Ahmad Zahid berhubung isu tersebut baru-baru ini.

“Kenapa Zahid cuak? Sebab UMNO kini sebahagian kerajaan campuran Anwar. Tetapi UMNO bawah Zahid tidak segagah UMNO dulu.

“UMNO kini di paras paling buruk dalam sejarahnya, hanya mampu bernyawa dengan 26 kerusi Parlimen.

“Itu tidak mengambil kira rekodnya yang tidak disenangi orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam wawancara yang disiarkan TIME pada 11 Oktober lalu menyatakan, beliau pernah menjemput Pas untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui beliau jemu dengan sikap Pas yang tidak setia dengan UMNO apabila begitu mudah ‘jatuh cinta’ lalu ‘berkahwin’ dengan parti lain.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendakwa sikap Pas yang cenderung bekerjasama secara ‘perkahwinan mutaah’ atau kontrak membuatkan parti tersebut sewenang-wenangnya meninggalkan BN khasnya UMNO yang sebelum ini pernah membentuk kerjasama menerusi pembentukan Muafakat Nasional (MN).

Roslan Shahir memberitahu, Pas yang memiliki 43 kerusi Parlimen bukan sahaja lebih gagah daripada UMNO malah ia merupakan parti terbesar di Parlimen diikuti DAP (40 kerusi) dan PKR (29 kerusi).

Beliau menambah, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), orang Melayu telah mengangkat Pas sebagai jurucakap mereka.

“Dan Pas hari ini menjadi teraju di empat negeri majoriti Melayu. Mana tidak Zahid tak cuak,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast