Tular lelaki hanya menggunakan tangan berusaha membuang runtuhan untuk menyelamatkan anak yang tertimbus.

GAZA CITY – Akibat pengepungan Israel, semua pintu keluar dan masuk ditutup penduduk Gaza bukan hanya hampir kehabisan bekalan air, makanan dan perubatan.

Mereka juga ketiadaan jentera untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus selepas rumah mereka dibom.

Dalam satu video yang tular di media sosial kelihatan seorang bapa berusaha menggali runtuhan rumah hanya menggunakan kedua belah tangannya mengorek celahan bangunan untuk mencari anaknya yang tertimbus.

Lelaki berkenaan kelihatan mengapai tangannya sedalam mungkin dalam rekahan dinding – berusaha sedaya mungkin untuk mengesan sama ada keluarganya masih hidup atau telah syahid.

Dia juga kedengaran meneriak beberapa nama dengan sayu dan berharap sahutannya itu dibalas.

Bagaimanapun tidak kedengaran sebarang suara daripada celahan runtuhan berkenaan yang memberi sebarang balasan.

Antara bayi yang berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan yang dibom Israel.

Bapa berkenaan tidak berputus asa dan berpindah ke lubang yang lain dan sekali lagi menggunakan tenaganya mengalihkan batu-batu yang besar namun kudratnya tidak memberikan sebarang hasil.

Dia kelihatan tetap nekad mencari keluarganya yang tertimbus dalam runtuhan rumah yang dimusnahkan Israel.

Lelaki itu bukanlah satu-satunya penduduk Gaza yang terpaksa berbuat demikian kerana menurut Al-Jazeera ramai lagi orang awam Palestin yang terpaksa berbuat demikian.

Gaza sememangnya sentiasa mengalami kekurangan sumber dan keupayaan yang merentasi semua sektor berikutan sekatan yang dilakukan Israel sejak 70 tahun lampau.

Bandar Gaza kini menjadi padang jarak padang terkukur selepas dibom oleh Zionis.

Berhadapan serangan ganas rejim Israel dari udara menggunakan pesawat canggih yang telah mengebom beratus-ratus buah rumah menjadi runtuhan dan debu kini tidak ada jentera yang mencukupi untuk melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa.

Mereka hanya menggunakan kudrat fizikal yang ada untuk membuang runtuhan dan membersihkannya bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap sama ada masih hidup atau telah mati.

Pasukan pertahanan awam Palestin telah mengeluarkan rayuan segera dalam beberapa hari lalu supaya dibenarkan jentera dibawa masuk ke Gaza.

Ini bagi membantu usaha mencari dan menyelamatkan orang awam yang terperangkap di bawah runtuhan yang jumlahnya kira-kira 1,000 orang.

Kumpulan yang dilihat mengalihkan mayat atau cuba menyelamatkan orang lain di bawah runtuhan hanyalah terdiri orang awam yang mempertaruhkan nyawa mereka sendiri.

Mereka menggunakan tangan kosong untuk menyelamatkan mangsa di bawah runtuhan sambil berdoa ketika kerja menyelamat dilakukan bom tidak digugurkan oleh regim Zionis dari udara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast