KUALA LUMPUR – Negara-negara kuasa besar yang menyokong rejim Zionis Israel khususnya Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan gelabah berikutan kejayaan Operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan pejuang Hamas.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Hamas telah berjaya menembusi kekuatan bala tentera Israel yang disokong dengan senjata Barat yang melimpah.
Menurut beliau, negara-negara terbabit secara terbuka menggerakkan bala tentera masing-masing dan membuat kenyataan bersama menyokong negara haram Israel untuk melakukan apa sahaja keganasan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
“Antaranya menceroboh dengan melakukan keganasan yang melampau, membunuh kanak-kanak, orang tua, kaum wanita, termasuk memusnahkan masjid, hospital dan lain-lain lagi.
“Dalam keadaan tiada sifat kemanusiaan sejagat, malah menuduh rakyat Palestin yang lemah dan dizalimi pula sebagai pengganas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amerika Syarikat (AS) telah menghantar kapal pengangkut USS Gerald R Ford bersama beberapa kapal besar yang lain untuk bersiap sedia memberi sokongan kepada rejim Zionis Israel dalam usaha melakukan keganasan terhadap penduduk Gaza.
Abdul Hadi memberitahu, negara-negara kuasa besar terbabit sepatutnya malu dengan rakyat sendiri yang sebahagiannya memprotes kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Ahli Parlimen Marang itu menambah, tindakan rejim Zionis Israel menceroboh Gaza telah mencabul undang-undang dan piagam antarabangsa serta merupakan kerosakan terhadap muka bumi Allah SWT dengan terang lagi bersuluh.
“Mereka pasti akan menerima akibatnya,” jelasnya.
Beliau juga percaya negara-negara besar yang terlibat menyalakan peperangan bersama negara haram Israel akan menerima padah yang sama.
“Ia akan membawa kejatuhan semua negara besar itu sebagaimana sebelumnya dalam sejarah yang pasti akan berulang.
“Masing-masing akan menerima ajal kerana yang kekal hanyalah Kerajaan Allah Yang Maha Berkuasa sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette