Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis akan mengadakan sesi dialog bersama pengurusan pusat beli-belah dan hotel-hotel utama di Johor berikutan ancaman bom yang diterima sebuah pusat membeli belah dan hotel di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, inisiatif tersebut dapat meningkatkan aspek keselamatan di premis-premis terlibat.

“Keadaan sudah tenang jadi kita tak perlu panaskan lagi keadaan, yang penting kita ambil langkah pencegahan untuk tingkatkan aspek keselamatan termasuk memanfaatkan litar kamera tertutup (CCTV) yang terdapat di premis-premis.

“Semua tujuan yang kita ambil ini adalah untuk kemas kini elemen keselamatan yang boleh dipraktikkan di premis masing-masing,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, pusat beli-belah Mid Valley Southkey dan Hotel St. Giles Southkey mengarahkan lebih 9,000 pengunjung dan pekerja mengosongkan bangunan terbabit ekoran dakwaan menerima ancaman bom.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan kawalan terutama di lokasi tumpuan melalui peningkatan tahap omnipresence. – MalaysiaGazette