Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh menunjukkan peta Parlimen Kemaman pada sidang media bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemanan, Terengganu pada 2 Disember ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kemaman.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas selepas pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rentetan itu, pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Kemaman adalah terkini sehingga DPPR Tambahan Bulan Ogos 2023 yang dikemas kini sehingga 3 Oktober.

“DPPR ini mengandungi seramai 141,790 orang pemilih yang terdiri daripada 141,382 orang pengundi biasa, 387 orang anggota polis, sembilan (9) orang anggota tentera dan pasangan, dan 12 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“DPPR bagi PRK ini akan mula dijual pada 14 November 2023 (Selasa),” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM3.5 juta perbelanjaan diperlukan bagi melaksanakan PRK Parlimen Kemaman.

Seramai 2,102 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan
proses PRK tersebut.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan sebanyak 49 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 244 tempat mengundi atau saluran dan empat pusat mengundi awal yang mengandungi empat tempat mengundi awal akan digunakan.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 53 buah dengan 248 tempat mengundi.

Sementara tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 November sehingga pukul 11.59 malam, 1 Disember. – MalaysiaGazette