KUALA LUMPUR – Semua pihak yang berkaitan perlu lebih ke hadapan dalam merancang persediaan menghadapi sebarang bencana lebih-lebih lagi menjelang musim monsun timur laut mulai bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mengurangkan risiko bencana bukan sahaja terletak di bahu kerajaan pusat, malah kerajaan negeri dan pentadbiran daerah mempunyai tanggungjawab yang sama penting untuk bersama mengurus dan mengurangkan risiko bencana.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, tadbir urus yang berlandaskan pengurangan risiko bencana dalam perancangan pembangunan, guna tanah, pengurusan air dan penyelenggaraan yang tertakluk di bawah kuasa negeri merupakan tiang bagi mengelakkan bencana dari terus berlaku.
“Ia juga memastikan pembangunan yang mampan untuk kesejahteraan rakyat khususnya generasi akan datang.
“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan timbalannya, Datuk Ugak Kumbong.
Ahmad Zahid berharap semua pihak tekad merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui dasar, pelan tindakan, progra serta projek yang bermanfaat dan sesuai dengan risiko bencana yang dihadapi sekarang.
“Dengan kerjasama serta komitmen daripada semua pihak yang terlibat, pengurusan dan pengurangan risiko bencana dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan negara,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, secara keseluruhan, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.
Ahmad Zahid berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi banjir meliputi 161 daerah di seluruh negara.
“Bagi pemantauan dan amaran awal, Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) kini beroperasi di 25 lembangan sungai utama negara meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Selain itu, JPS turut bersedia dengan 1,342 stesen telemetri hujan dan aras air, 543 siren amaran banjir dan 1,526 tolok lurus serta 737 pam bergerak,” jelasnya.
Dari aspek pengurusan kebajikan mangsa, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia mengaktifkan 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 2,158,743 mangsa.
Menurut beliau, JKM juga telah menerima peruntukan sebanyak RM35.85 juta bagi pengurusan bencana di seluruh negara.
“Peruntukan ini adalah untuk tujuan perolehan barang keperluan bencana, penyediaan makanan dan minum mangsa yang berpindah ke PPS, perolehan makanan retort serta bantuan pemulihan bencana.
“JKM juga telah bersedia memaksimumkan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh negara bagi mengadapi monsun timur laut di lapan Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid menambah, JKM juga mempunyai sebanyak 137 stor bencana di peringkat negeri dan daerah termasuk 68 mini depot.
Katanya, bagi memastikan bekalan barang keperluan bencana mencukupi terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi terputus hubungan, sebanyak 561 pangkalan hadapan telah disediakan.
“Pada masa yang sama, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah diarahkan untuk diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pula diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, bagi memantapkan kesiapsiagaan komuniti, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) telah menyantuni seramai 24,069 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setakat September lalu.
“Bagi tujuan pengoperasian bencana monsun timur laut 2023/2024, sebanyak RM323.63 juta akan diperuntukkan kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah di bawah semangat Malaysia Madani bagi mengurangkan kesukaran dalam menguruskan bencana monsun timur laut saban tahun dan memastikan kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette