Skim pelaburan saham palsu dalam akaun FB All Star Investment tiada kena mengena dengan gambar Pengerusi MAIS.

KUALA LUMPUR – Polis menasihati orang ramai berwaspada dengan satu sindiket yang menggunakan nama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam akaun media sosial untuk iklan skim pelaburan saham palsu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya hari ini menerima laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam daripada pengadu Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang merupakan Pengerusi MAIS.

“Pengadu dalam laporan polis itu menafikan iklan yang dipaparkan dalam akaun Facebook atas nama All Star Investment yang telah menggunakan gambarnya.

“Iklan itu menawarkan skim pelaburan saham dan mendakwa pelaburan itu patuh syariah dan keuntungan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah Hussein, iklan tersebut adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Pengerusi MAIS  seperti didakwa dalam iklan itu.

Menurutnya, laporan polis yang dibuat oleh pengadu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan terperinci dan tindakan lanjut.

“Adalah dinasihatkan kepada orang ramai agar abaikan iklan sedemikian di dalam media sosial dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang iklan di media sosial yang menggunakan individu penting yang menjadi kepercayaan masyarakat sebagai imej sesebuah iklan yang bermotifkan menarik perhatian ramai.

“Sikap menyemak kesahihan sesuatu iklan itu amat penting bagi mengelak ia dimanipulasikan dan menjadi mangsa penipuan sindiket,” ujarnya.

Orang ramai diingatkan membuat pelaburan di platform yang sah dan menyemak di laman web Suruhanjaya Sekuriti di laman sesawang https://www.sc.com.my/investor-alert bagi menentukan kewujudan sesuatu syarikat pelaburan tersebut. – MalaysiaGazette