Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

KUALA LUMPUR – Kejadian pengeboman Hospital Al Ahli Arab di Gaza hingga mengorbankan lebih 500 nyata turut mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

Dalam kenyataan, Biden yang melahirkan perasaan marah dengan kejadian berkenaan telah mengarahkan pihaknya untuk menyiasat dan mengumpul maklumat.

Beliau turut menghubungi Raja Jordan Raja Abdullah II dan Perdana Menteri Isreal Benjamin Netanyahu bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

“Saya sangat marah dan sedih dengan kejadian letupan di hospital Al Ahli Arab di Gaza, dan kehilangan nyawa yang teruk.

“Sejurus selepas mendengar berita ini, saya bercakap dengan Raja Abdullah II dari Jordan, dan Perdana Menteri Netanyahu dari Israel dan telah mengarahkan pasukan keselamatan negara saya untuk terus mengumpul maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku,” ciap beliau di platform X.

Biden berkata, negaranya tidak berbelah bahagi untuk melindungi kehidupan orang awam semasa konflik.

Katanya, AS meratapi pesakit, kakitangan perubatan dan orang yang tidak bersalah yang terkorban atau cedera dalam tragedi tersebut.

Sebuah hospital di tengah Gaza yang sarat dengan pesakit dan pelarian Palestin dibom askar Zionis, menyebabkan lebih 500 orang terbunuh, lapor saluran televisyen Al Jazeera hari ini.

Pihak berkuasa mengesahkan angka kematian itu adalah tertinggi membabitkan serangan tentera Israel dalam masa sehari sejak 2008.

Kementerian Kesihatan Gaza mengeluarkan kenyataan menjelaskan hospital itu telah memainkan peranan penting dalam menawarkan perlindungan kepada orang awam.

“Hospital itu menempatkan ratusan orang yang sakit dan cedera, dan orang ramai dipindahkan secara paksa dari rumah mereka,” kata kementerian berkenaan.

Israel sebelum ini telah mengarahkan agar 22 hospital di utara Gaza dikosongkan dan turut memerintahkan agar penduduk meninggalkan rumah masing-masing dalam tempoh 24 jam.-MalaysiaGazette