KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memperuntukkan sebanyak RM300 sebulan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sama ada berpencen ataupun tidak berpencen.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia sebagai langkah untuk membantu veteran pasukan keselamatan itu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 18,786 orang anggota berpencen dan tidak berpencen menerima manfaat itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM67.6 juta.
“Melalui pelan kebajikan, kita melihat anggota yang berpencen dan tidak berpencen khususnya yang berada di bawah paras garis kemiskinan.
“Ini antara bantuan sara hidup, malah kita sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga veteran ATM sama ada berpencen atau tidak berpencen sentiasa terpelihara,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu beliau menjawab soalan R.Yuneswaran (PH-Segamat) meminta Menteri Pertahanan menyatakan skop pemerkasaan yang sedang dilaksanakan secara menyeluruh terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup veteran ATM sama ada yang berpencen atau tidak berpencen.
Dalam pada itu, JHEV juga menyediakan insentif khairat kematian kepada anggota dan tanggungannya bernilai RM3,000 bagi veteran dan RM1,500 bagi keluarga.
“Setakat ini kita telah membelanjakan sebanyak RM455,000,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM103 juta bagi tujuan rawatan dan ubat-ubatan serta peralatan berkaitan dengan perubatan.
Bagi bantuan perumahan pula, sebanyak tiga inisiatif disediakan iaitu pembinaan rumah baharu sebanyak 40 rumah, 170 bagi pembaikan dan satu anggota satu rumah.
“Kita memperuntukkan dari segi pembinaan rumah sasar ini di mana 15 peratus diperuntukkan kepada anggota veteran,” katanya.
“Selain itu, kita turut memperuntukkan bantuan pendidikan di peringkat rendah dan sekolah menengah sebanayak RM557,000.
“Kita juga menyediakan bantuan RM1,000 di peringkat diploma dan RM1,500 kepada anggota veteran di peringkat ijazah.
“Dalam Bajet 2024, kita juga memperutukkan sebagai anggota ATM berpencen atau tidak berpencen diberikan bantuan khas RM1,000 melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM213 juta,” katanya. – MalaysiaGazette