M Kulasegaran
M Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya menyah sulit dokumen perjanjian konsesi penyelenggaraan jalan raya agar terma-termanya dapat diketahui oleh orang ramai.

M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata, syarikat konsesi lazimnya mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya.

“Bila dia ambil masa, rakyat jumpa dengan kita, ‘taruk’ sama kita, kenapa Kerajaan Perpaduan yang membuatnya?

“Sedangkan bukan sedemikian, kerajaan dahulu yang buat perjanjian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertanya soalan tambahan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi menjawab pertanyaan itu, Alexander menjelaskan, kerajaan belum mempertimbangkan untuk menyah sulit dokumen tersebut.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa masalah kerosakan jalan raya memang berlaku di seluruh negara.

“Sebab itu pernah berapa kali saya nyatakan berapa ribu lubang jalan kita kenal pasti dan berapa ribu juga kita berjaya untuk buat kerja-kerja penampalan jalan,” jelasnya.

Alexander menambah, orang ramai boleh memanfaatkan aplikasi MYJalan bagi menyalurkan aduan berkaitan masalah kerosakan jalan raya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pengguna boleh ajukan aduan kepada kami supaya kami boleh bertindak segera,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast