Vellfire antara tiga disita selepas dikesan terlibat dalam aktiviti ulat memancing penumpang di klia2 sepang di sini.Ihsan JPJ

daripada tiga kenderaan ulat itu duanya lagi kenderaan sita itu terdiri daripada kereta jenis Perodua Alza.

KUALA LUMPUR – Sebuah Toyota Vellfire antara tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dikesan terlibat dalam kereta sewa haram atau ‘ulat’ berjaya ditahan dan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal 2,  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, tindakan itu dilakukan selepas mendapati ‘ulat’ itu mengenakan tambang antara RM100 sehingga RM180 dari Terminal 2 ke Puchong dan destinasi lain di sekitar Kuala Lumpur.

“Ulat berkenaan meminta penumpang menjelaskan caj tambang itu setelah sampai ke destinasinya,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Perodua Alza antara tiga disita selepas dikesan terlibat dalam aktiviti ulat memancing penumpang di klia2 sepang di sini.Ihsan JPJ

Susulan itu, tiga pemandu lelaki berusia antara 27 hingga 47 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti itu telahditahan untuk membantu siasatan.

Beliau pada masa yang sama menasihatkan orang supaya mengelak daripada mendapatkan khidmat ‘ulat di lapangan terbang, sebaliknya menggunakan khidmat pengangkutan yang sah melalui kaunter perkhidmatan di terminal satu dan dua atau  membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti kereta sewa haram ini boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sesiapa yang didapati bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama,” katanya sambil memberitahu JPJ akan meneruskan penguatkuasaan ini dari semasa ke semasa.-MalaysiaGazette