Penolong Pegawai Perubatan mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan berkaitan rasuah pengurusan jenazah

KUANTAN – Seorang Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima suapan berkaitan pengurusan jenazah.

Tertuduh, Moh Roffi Ab Rahman, 57 bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Menurut kertas pertuduhan, bapa kepada lima orang anak itu didakwa menerima untuk diri sendiri menerusi akaun Maybank miliknya wang tunai berjumlah RM3,350 melalui 12 transaksi berbeza antara RM100 hingga RM800 yang diterima dari dua individu berbeza.

Kesemua kesalahan yang didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Bandar Pusat Jengka antara 8 April 2021 hingga 3 Mac 2022.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan itu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman, manakala tertuduh diwakili Peguambela Shahidah Muslimah Roslan.

Pihak pendakwaan menawarkan RM10,000 wang jaminan dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada Mahkamah.

Bagaimanapun, Shahidah memberitahu mahkamah anak guamnya itu baharu sahaja kematian seorang anak akibat kanser dan kini mempunyai dua orang anak yang disahkan menghidap sakit jantung dengan kos rawatan yang tinggi.

“Sepanjang menjaga dua anaknya yang sakit itu, terlalu banyak wang dikeluarkan bagi menampung kos rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Justeru, saya merayu dengan rendah diri atas faktor kemanusiaan agar jaminan diberi dengan kadar paling rendah,” katanya kepada mahkamah dan memohon agar wang jaminan diberikan sebanyak RM3,000 kepada anak guamnya itu.

Hakim bagaimanapun menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar bersama syarat tambahan tertuduh perlu mengemukakan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai.

Tarikh pengurusan kes dan sebut semula pula ditetapkan pada 27 November depan. – MalaysiaGazette

 

Penolong pegawai perubatan direman kes rasuah pengurusan jenazah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast