Antara pewakilan yang hadir pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat bagi sesi 2023-2025 tidak menyaksikan perubahan besar dalam kepimpinan tertinggi sayap parti itu selepas hampir kesemua calon menang tanpa bertanding, hari ini.

Penyandang Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya kekal memegang jawatan itu sejak penggal lalu selepas dipilih semula menerajui sayap itu bagi sepenggal lagi.

Selain itu, Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail pula kekal sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat juga menang tanpa bertanding selepas calon-calon lain bertindak menarik diri.

Manakala Yang Dipertua Pas Kawasan Tebrau yang juga penyandang jawatan Naib Ketuanya, Khirul Muntanazar Ismail pula dilantik semula selepas menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, dari 12 Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat yang dipertandingkan kali iniĀ  menyaksikan beberapa perubahan dan muka baharu selepas menang dalam pemilihan parti itu.

Antaranya muka baharu itu ialah Aminurrasyid Yatiban, Hishamudin Abdul Karim, Mohd Asri Mat Daud, Muhammad Ismi Taib, Nafiri Touzi, Nushi Mahfodz, Syarbini Hussain dan Zulkarnain Hassan.

Manakala empat penyandang jawatan itu pada penggal lalu menang semula, antaranya Ana Masturah Ismail, Ibrahim Tahir, Ibrahim Zakaria dan Massaudi Din. – MalaysiaGazette