Mesyuarat OIC yang diadakan bagi membincangan serangan Israel di Semenanjung Gaza. Foto Qatar News Agency

JEDDAH – Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di peringkat menteri menggesa pencerobohan kejam dan biadap tentera Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan segera serta menarik semula tindakan mengepung Semenanjung Gaza.

Negara-negara anggota OIC juga mengutuk pembunuhan, pengeboman, dan pemusnahan infrastruktur yang disengajakan, termasuk kekejaman beramai-ramai ke atas penduduk Palestin.

OIC juga menolak sebarang alasan berhubung tindakan yang menyasarkan orang awam atau memindahkan mereka dari rumah dan menyebabkan kebuluran.

Malah, OIC menyeru semua negara dan masyarakat antarabangsa untuk segera memberikan bantuan kemanusiaan dan perubatan segera, menyediakan bekalan air dan elektrik, selain membuka koridor kemanusiaan dengan segera supaya bantuan kemanusian dapat disampaikan ke Semenanjung Gaza, termasuk melalui pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Anggota OIC juga memberi amaran terhadap laluan berbahaya untuk meneruskan dasar menyasarkan orang awam secara sengaja, dan hukuman kolektif, disertai dengan dasar kebuluran dan kekurangan air, dan pemberhentian satu-satunya loji janakuasa di Semenanjung Gaza daripada beroperasi semata-mata untuk mengelakkan penduduk Palestin mendapat akses kepada bahan api.

Kenyataan itu juga menunjukkan bencana sebenar yang menyasarkan semua perkhidmatan kesihatan dan kemanusiaan adalah bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan dan jenayah antarabangsa, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan.

Anggota OIC mengutuk sekeras-kerasnya sasaran secara terang-terangan oleh tentera penjajah Israel yang kejam di Hospital Al-Ahly  di Semenanjung Gaza, yang membawa kepada pembunuhan dan kecederaan ratusan pesakit dan orang awam yang tidak berdosa kehilangan tempat tinggal.

Tindakan kejam itu disifatkan sebagai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai  yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, etika, dan konvensyen antarabangsa dan kemanusiaan.

Lantaran itu, OIC menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan mahu pihak yang melakukan kekejaman sedemikian bertanggungjawab.

“Pendudukan Israel telah  menyebabkan jenayah perang yang kejam terhadap rakyat Palestin maka OIC menuntut campur tangan segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” menurut OIC dalam satu kenyataan.

Anggota OIC lantang terhadap Israel kerana menyifatkan Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas nasib orang awam di Semenanjung Gaza, dan tragedi sebenar yang mereka lakukan melalui pengeboman, pengepungan hingga mencetuskan kebuluran, hidup tanpa elektrik, makanan, atau air bersih, sambil memaksa penduduk Palestin untuk meninggalkan rumah mereka.

“Israel jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa mengikut Konvensyen Geneva sebagai kuasa pendudukan.” tambah kenyataan itu.

Ahli-ahli menekankan tentang kepentingan memelihara nyawa semua orang awam dan tidak menyasarkan mereka dalam apa cara sekalipun, kerana ini tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan undang-undang ketuhanan.

Anggota OIC menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memikul tanggungjawabnya dengan mengambil semua langkah segera untuk menghentikan pencerobohan kejam dan biadab terhadap rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza dan di seluruh wilayah Palestin.

Kenyataan itu menegaskan keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini dicapai dengan menamatkan pendudukan penjajah Israel dan amalan penindasannya terhadap rakyat Palestin, dan dengan memperkasakan rakyat Palestin. – Agensi