Rosol Wahid
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa dan media disarankan supaya tidak mendedahkan identiti mana-mana individu yang ditahan reman selagi belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.

Datuk Rosol Wahid (PN-Kuala Terengganu) berkata, ia bagi mengelakkan masyarakat memandang serong terhadap individu berkenaan.

Beliau memberi contoh tentang tangkapan terhadap bekas pegawai seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini atas dakwaan terlibat dalam rasuah berkaitan projek mencetak buku J-Qaf untuk prasekolah.

“Apa yang berlaku bila masuk dalam lokap, masuk surat khabar walaupun dikaburkan muka, orang dah tuduh jahat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Rosol mendakwa, selepas individu terbabit ditahan dan disiasat, didapati buku dan subjek tersebut tidak wujud.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menguar-uarkan tentang tangkapan kerana belum tentu individu tersebut benar-benar bersalah.

“Saya harap wartawan dan pihak berkuasa beri pertimbangan sewajarnya sebagai manusia,” jelasnya. – MalaysiaGazette