Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan dirinya anti bukan Islam selepas sering membuat kenyataan keras menghentam mereka yang cuba menentang agama itu.

Menurut Ahli Parlimen Marang, kenyataan beliau khususnya berkaitan bukan Islam sering disalah tafsir sehingga difahami menyinggung bukan Islam sebaliknya ia lebih dituju kepada DAP yang cuba menanam dakyah Islamofobia.

“Kita lebih dituduh oleh DAP yang ekstrem terhadap Islam, banyak kenyataan kenyataan (saya) disalahtafisr oleh media.

“Oleh kerana DAP terlalu melampau, serangan terhadap kita menggunakan dakyah Islamofobia kita terpaksa memberi jawapan dan jawapan-jawapan itu tak sempat sampai kepada masyarakat, ini jadi masalah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 di sini hari ini.

Hadir sama adalah timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut mendakwa DAP dilihat semakin melampau apabila menggunakan ‘dakyah’ Islamophobia untuk dijadikan senjata dalam mewujudkan persepsi negatif terhadap Pas.

Malah, katanya, DAP sering kali menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai, khususnya bukan Islam sehingga masyarakat itu menolak Pas.

“Tidak mustahil sokongan kaum bukan Islam boleh direalisasikan seperti mana (ahli) DAP boleh membuang undi kepada calon India, kalau itu boleh dilakukan, takkan kaum Cina tidak boleh undi calon Islam. Inilah bukti maklumat kita tidak sampai dek kerana diganggu dakyah negatif terhadap Islam bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

“Hubungan dengan bukan Islam kita tiada masalah sebab sekiranya ideologi Barat mereka boleh terima, sudah pasti ia diterima bukan Islam untuk terima ideologi kita yang sudah pun lahir serta berkembang dalam masyarakat kita.

“Di empat negeri kita perintah, boleh dilihat bagaimana pemerintahan Pas begitu adil terhadap rakyat bukan Islam,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Abdul Hadi turut mengakui salah faham bukan Islam terhadap Pas  juga disebabkan maklumat tidak sampai dengan baik kepada kumpulan itu dan ia hanya terhad di media sosial sahaja,

“Kerana kita punya maklumat tak sampai kepada bukan Islam, media sangat terbatas, maklumat di media sosial terhad. Kita punya gerakan tak sampai ke lapangan,”katanya lagi. – MalaysiaGazette