KUALA LUMPUR – Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di benua Eropah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan buku bidang teknikal dalam bahasa Melayu di Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman, baru-baru ini.
Pelancaran buku berjudul ‘Kepentingan Keperluan Keselamatan Dalam Pembangunan Perisian’ ini disempurnakan Konsulat Jeneral Malaysia, Farzamie Sarkawi dan turut dihadiri penulisnya yang juga Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Turut hadir, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Khair Ngadiron, Pengarah Penerbit UTeM Press, Ts. Dr. Ruziah Ali dan delegasi dari Malaysia.
Pada masa yang sama turut diadakan sesi resensi buku ini yang membincangkan tentang kandungan buku ini dengan lebih lanjut.
Mengulas tentang penerbitan buku ini Massila berkata, ini adalah selari dengan agenda kerajaan Malaysia ke arah memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang teknikal dan sekali gus mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, pengisian buku ini berobjektif memperkenal dan memberi kefahaman kepada pengguna terhadap kepentingan keselamatan dalam membangunkan sesebuah perisian.
“Bidang keselamatan pembangunan perisian belum cukup meluas berbanding bidang keselamatan siber, walhal semuanya bermula dengan pembangunan perisian,” katanya lagi.
Di samping itu, penerbitan buku beliau bersama pelajar Ijazah Kedoktorannya, Noorrezam Yusop, membuktikan hasil penyelidikan dapat menyumbang kepada peningkatan penerbitan buku negara bagi manfaat pengetahuan kepada masyarakat umum.
Mengulas lanjut beliau berkata, buku berkenaan juga memperkenalkan MobiMEReq iaitu sebuah aplikasi mobil mudah alih yang membantu mengesahkan keperluan pengguna untuk pembangunan aplikasi.
Terdahulu, delegasi UTeM juga telah menyerahkan buku yang sama kepada Duta Besar Malaysia di Romania, Tengku Dato’ Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin di Kedutaan Malaysia di Romania.
Pelancaran buku ini diadakan di Jerman bersempena lawatan kerja Naib Canselor UTeM ke Eropah Timur. – MalaysiaGazette