wong chen
Wong Chen

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen, Wong Chen kesal dengan sikap prejudis segelintir rakyat Malaysia terhadap cadangan membawa masuk pelarian dari Palestin ke negara ini.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan melakukan langkah itu, keutamaan diberikan terhadap golongan yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Subang itu juga percaya pejuang yang terlibat dalam pertempuran tidak akan dikategorikan sebagai pelarian.

“Mereka yang mendakwa cadangan saya, sekiranya dilaksanakan oleh kerajaan, adalah seperti membiakkan ‘pengganas’ di Malaysia, perlu menilai semula prejudis politik dalam diri mereka.

“Bayangkan diri anda sebagai rakyat biasa di Gaza, kemudian tanya apa yang anda mahu masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia lakukan untuk membantu anda dan keluarga dalam keadaan yang sangat getir ketika ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Wong berkata, jawatankuasa tersebut akan berbincang dengan Kementerian Luar untuk menghantar pasukan bagi menapis pelarian dari Gaza sebelum dibawa ke Malaysia.

Walaupun ramai yang menyokong cadangan tersebut, terdapat sebahagian yang mengecamnya dan mendakwa, ia akan menyebabkan Malaysia menjadi sarang pengganas.

Beliau juga kesal kerana ramai golongan yang berpelajaran tidak memahami maksud memberi perlindungan kepada pelarian.

Wong menjelaskan, kerajaan hanya menyediakan perlindungan sementara kepada mereka dan bukannya memberi status kerakyatan atau penduduk tetap.

“Selepas perang tamat dan keadaan kembali seperti biasa, pelarian akan dihantar pulang. Itu adalah norma antarabangsa berhubung pelarian,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada pelarian yang memohon status penduduk tetap dan kerakyatan, namun syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan Malaysia adalah sangat ketat.

Pada masa sama, Wong mencadangkan supaya pelarian dari kategori profesional dibenarkan bekerja di negara ini supaya mereka dapat menyara hidup sendiri dan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast