BUTTERWORTH – Polis menahan 24 lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam di sini selepas video tersebut tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada Khamis lalu dan pergaduhan membabitkan sekumpulan individu dengan seorang remaja.
Siasatan lanjut mendapati mangsa dikatakan melakukan provokasi dengan membunyikan ekzos motosikal secara kuat ketika satu perarakan agama sedang berlangsung berhampiran kawasan itu.
“Tidak puas hati dengan tindakan mangsa sekumpulan lelaki bertindak memukulnya hingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan.
“Susulan itu, kita menahan suspek termasuk mangsa berusia lingkungan 16 sehingga 24 tahun bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati salah seorang daripada yang ditahan mempunyai dua rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Mohd Asri, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Nazri Wan Chik di talian 014 319 0131 atau tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 15 saat di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan sekumpulan individu dengan seorang lelaki di sebuah stesen minyak. – MalaysiaGazette