KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak mengambil sikap ‘memadankan muka’ kepada pihak yang mahu menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus akhirnya kini mendapat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga lapan peratus.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, parti pimpinannya sangat rasional dan memahami mengapa kerajaan sekarang terpaksa bertindak sedemikian.
Menurut beliau, kerajaan terpaksa berbuat demikian untuk mengelak negara mengalami defisit perbelanjaan.
“Jelas kita antara sedikit negara yang mengamalkan SST dan kita kembali terjun ke jurang pengurangan pendapatan (selepas menghapuskan GST).
“Jika kerajaan tidak menaikkan SST kepada lapan peratus kerajaan akan menghadapi masalah defisit perbelanjaan yang terlalu tinggi. Jadi SST salah, GST pun salah, memang kerajaan ini serba salah.
“Dalam dunia ini tidak ada satu negara dan tidak ada seorang warganegara yang suka kena cukai. Tidak ada. Dalam perkara ini kita perlu bite the bullet untuk menghadapi permasalahan ini,” jelas Ahmad Zahid.
Bercakap secara eksklusif bersama MalaysiaGazette menerusi program Skop MG mengenai Belanjawan 2024 Ahmad Zahid berkata, penambahan dua peratus daripada enam peratus sebelum ini memberikan peningkatan pendapatan sebanyak RM3 bilion kepada negara.
Jumlah itu, katanya, membolehkan kerajaan menyusun perbelanjaan termasuk memenuhi permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar semakan gaji kakitangan kerajaan dilakukan.
“Kita juga lihat pengawai kerajaan menuntut supaya gaji disemak semula selepas 10 tahun ia tidak disemak. Kini telah memasuki tahun yang ke-12, oleh yang demikian maka tentunya kenaikan cukai ini sebahagiannya adalah untuk menampung permintaan oleh CUEPACS.
“Kita dapati apa yang diumumkan Perdana Menteri bersesuaian dengan permintaan itu walaupun mustahil untuk dipenuhi 100 peratus daripada kumpulan yang berbeza tetapi sekurang-kurangnya kita dapat komitmen daripada pihak kerajaan dan melegakan beberapa kumpulan yang dulunya merasakan tidak berpuashati,” jelas beliau.
Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, SST mempunyai kelemahan kerana pihak pengimport dan pengeksport boleh memanipulasi harga dengan tidak membuat pengisytiharan sebenar.
Justeru katanya, perlu ada sistem yang telus seperti e-Invoice Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi mengelak pengimport dan pengeksport tidak mengisytiharkan harga belian atau jualan yang sebenar.
“Jadi SST juga perlu kaedah yang menyamai e-Invoice supaya tidak terdapat unsur-unsur tidak isytihar. Sebab kita tahu bahawa ‘ekonomi hitam’ perlu dielakkan.
“Jika tidak, harga barangan bukan ditentukan oleh permintaan dan penawaran, dan bagaimana di setengah tempat bila ‘ekonomi hitam’ dikuasai oleh kartel-kartel tertentu ia lebih daripada harga pasaran.
“Ini harus dilakukan pemantauannya oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan beberapa pihak lain,” tegas beliau.- MalaysiaGazette