SHAH ALAM – Konfrontasi antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) boleh ditamatkan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meneruskan amalan pentadbiran terdahulu menafikan hak negeri-negeri di bawah pembangkang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang mendukacitakan, Anwar tidak memperbetulkan kesilapan yang berlaku khususnya daripada segi agihan royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan.
Menurut beliau, lebih dikesali, tuntutan royalti minyak oleh dua negeri tersebut merupakan antara agenda yang diperjuangkan Anwar ketika menjadi pembangkang dahulu.
“Kalau dia ambil pendirian tersebut, tak akan ada konfrontasi.
“Namun, bila dia ambil pendirian untuk meneruskan atau mengecilkan lagi (perunntukan), saya fikir tidak patut dibuat,” katanya dalam sidang media Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Kelmarin, Tuan Ibrahim menegaskan, Pas menolak tawaran daripada Anwar untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri memaklumkan tentang perkara tersebut dalam wawancara yang disiarkan TIME 11 Oktober lalu.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mendakwa, manifesto DAP sendiri mengesahkan hakikat Malaysia bukan negara sekular.
“Kalau betul negara sekular apa perlu DAP masukkan dalam manifesto dia memperjuangkan negara sekular?” soalnya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, semua pihak telah diingatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan manakala orang Melayu dikatakan sukar menerima konsep kesamarataan yang ingin dibawa melalui agenda Malaysian Malaysia.
“Islam agama rasmi, kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan negara, itu tunggak-tunggak asas termasuk hak istimewa orang Melayu,” jelasnya.
Tuan Ibrahim berkata, sebarang usaha untuk menyentuh elemen-elemen besar itu akan menimbulkan polemik di negara ini. – MalaysiaGazette