Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan disambung reman lagi bagi membantu siasatan berkaitan pengubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang juga pemegang saham terbesar Syarikat MYAirlines Sdn.Bhd dilanjutkan reman selama dua hari lagi untuk membantu siasatan.

“Suspek sebelum ini direman selama empat hari sejak 18 Oktober lalu bersama anak dan isterinya untuk membantu siasatan.

“Hari ini (21Oktober 2023) kita akan sambung reman dua hari lagi ke atas suspek sehingga Ahad (22 Oktober),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Manakala jelas Ramli,  isteri dan anaknya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan.

Tambah beliau, polis turut membekukan sebanyak 15 akaun bank milik suspek untuk membantu siasatan lanjut.

“Nilai kewangan membabitkan pembekuan akaun adalah dianggarkan hampir mencecah RM5 juta,” ujarnya.

Sebelum ini Ramli mengesahkan yang Bukit Aman sedang menyiasat punca kewangan pengasas bersama yang juga pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditahan kelmarin.

Beliau berkata, siasatan polis dibuat secara menyeluruh, termasuk bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.

“Siasatan kita tidak terhad, ia akan dijalankan secara menyeluruh mencakupi semua aspek termasuk punca dan jejak perjalanan wang dari awal sehinggalah penubuhan syarikat penerbangan terbabit,” katanya.

Beliau menjelaskan, suspek dalam kes berkenaan pernah terkait dengan kes I-Serve Online Mall Sdn Bhd (I-Serve Online Mall) sebelum ini dan kemudian menubuhkan syarikat penerbangan.

“Kita percaya ia saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Ramli berkata, siasatan lanjut kini sedang dijalankan dan tidak menolak kemungkinan ada lagi individu lain akan disiasat dan ditahan.

Pada 18 Oktober lalu, suspek bersama anak dan isterinya direman empat hari di Lokap Berpusat Jinjang, Kepong.

Terdahulu perintah reman dibenarkan selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan yang dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 57, 55 dan 26 tahun itu ditahan kira-kira 5.30 petang pada 17 Oktober lalu di rumah mereka di Shah Alam. – MalaysiaGazette