SHAH ALAM – Agama Islam di negara ini boleh terancam sekiranya ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didominasi dalam kalangan bukan Islam, golongan liberal dan sekular.
Pembahas Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, ini kerana semua perkara termasuk agama Islam tertakluk di bawah Perlembagaan di mana wakil rakyat akan menggubal serta membuat undang-undang.
“Apa sahaja perkara di Malaysia terikat dengan undang-undang. Perlembagaan di Malaysia ini diuruskan Parlimen, ia tempat untuk gubal dan buat undang-undang, ahli Dewan Rakyat di Parlimen dan di peringkat negeri, ADUN.
“Kalau yang menjadi ahli Parlimen dan ADUN ini dalam kalangan orang-orang yang tak faham tentang ajaran Islam atau orang bukan Islam, atau orang Islam fahaman sekular dan liberal.
“Kita akan melihat undang-undang dibuat dan digubal ini pasti akan bercanggah dengan ajaran Islam, itulah maksud ancaman Islam dalam negara kita,” katanya berucap ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai berkongsi sebahagian daripada dialognya bersama seorang warga emas yang juga penyokong Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurutnya, dalam dialog itu juga penyokong PH terbabit mempersoalkan dakwaan pimpinan Pas kononnya Islam kian terancam di negara ini sedangkan banyak amalan dan tuntutan Islam bebas dibuat tanpa halangan.
“Dia kata mana ada terancam, tiada terancam apa, masjid ada, orang boleh azan, Bank Islam pun ada. Dia kata peruntukan untuk agama Islam pun ditambah, dia kata mana ada gangguan, mana ada tekanan, mana ada Islam diancam di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette