PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu membuang masa untuk mengajak UMNO menyertai Perikatan Nasional (PN).
Presiden UMNO berkata, beliau menolak lamaran Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali yang mempelawa UMNO untuk menyertai PN bagi membantu masyarakat Melayu Islam di negara ini.
“Kita bukan hanya bekerja untuk Melayu dan Islam, kita juga bekerja untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Walaupun kita tidak pernah berkompromi dalam agenda perihal Islam dan Melayu di negara ini tetapi kita perlu memperakui bahawa Malaysia adalah milik masyarakat majmuk,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian hadir selaku Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa serta menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV Putrajaya Tahun 2023 di sini malam ini.
Mengulas lanjut dalam perkara sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, partinya selesa dengan penglibatan mereka dalam Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi, mereka jangan membuang masa dengan menjemput kami untuk menyertai PN,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette