Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) bakal mempertaruhkan  anak jati Kemaman dalam  menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu yang akan diadakan pada 2 Disember 2023.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah menerima beberapa nama untuk dipertimbangkan sebelum dibuat senarai pendek.

“Untuk pilihan raya kecil di Parlimen Kemaman, parti telah memperolehi beberapa nama (calon parti) dan dijangkakan menyenarai pendek calonnya untuk beberapa hari daripada sekarang.

“Dan yang pastinya kita akan mengambil tokoh anak Kemaman yang berada di peringkat nasional ataupun di peringkat negeri (jawatan parti) untuk bertanding bagi PRK Kemaman,” katanya ketika ditemui pemberita malam ini di sini.

Beliau berkata berkata demikian selepas hadir merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV Putrajaya Tahun 2023 di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan beliau akan memutus dan memuktamadkan calonnya itu untuk diumumkan secara rasmi oleh Pengarah Jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Said.

Ditanya mengenai jangka masa pengumuman calon yang bertanding mewakili UMNO-BN di Kemaman, Ahmad Zahid berkata, calon akan diumumkan dua tiga hari sebelum penamaan calon diadakan pada 18 November nanti.

“Dua tiga hari sebelum penamaan calon ya.. Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Dalam Mesyuarat khas disusuli sidang media pada 17 Oktober lalu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 2 Disember depan sebagai tarikh PRK Parlimen Kemaman di Terengganu.

Manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November depan disusuli pengundian awal pada 28 November 2023.

Pada 26 Sept lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu telah membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pertembungan empat penjuru dalam PRU15 di Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).
– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast