Datuk Seri Yahaya Othman

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai ‘Geng Dan Lombok’ selepas menahan tujuh  lelaki warga asing serta seorang perempuan warga tempatan dalam beberapa serbuan di Negeri Sembilan dan Pahang.

Kesemua suspek berusia 27 tahun hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Cawangan Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis kontijen (IPK) Pahang dan Negeri Sembilan dalam serbuan antara 12 hingga 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil serbuan mendapati enam lelaki warga Indonesia yang ditangkap adalah buruh ladang di Felda Keratong, Pahang.

Katanya, seorang lelaki warga Indonesia dan seorang  wanita warga tempatan adalah pasangan suami isteri yang bertindak sebagai orang yang menyediakan kenderaan serta menjual barang-barang yang dirampas oleh kumpulan tersebut.

Tambah beliau, kumpulan penjenayah itu dikesan aktif sejak sejak Ogos lalu dengan melakukan samun di sekitar daerah Rompin khususnya di beberapa buah Felda di Keratong.

Katanya, sebanyak lapan kes samun dengan nilai kerugian kira-kira RM70,500 dilaporkan dalam tempoh tersebut.

“Ekoran kes samun yang berlaku ini, Jabatan Siasatan Jenayah Pahang melalui pasukan taskforce khas di bawah Cawangan Siasatan Khas D9, JSJ IPK Pahang membuat risikan dan siasatan ke atas kumpulan penjenayah yang terlibat.

“Siasatan mendapati kumpulan penjenayah Geng Dan Lombok diketuai oleh seorang lelaki Indonesia yang dikenali sebagai ‘Dan’ yang berumur 43 tahun.

“Suspek tersebut ditahan pada tahun 2015 kerana terlibat dalam jenayah samun di Felda Keratong, Pahang, dan setelah menjalani hukuman penjara selama setahun, dia diusir balik ke Indonesia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Yahaya, bagaimanapun Dan kembali secara haram ke Malaysia dan terlibat dalam kes samun bersama ahli kumpulan lain pada tahun ini.

Tambah beliau, kesemua lelaki warga Indonesia yang ditangkap itu didapati tidak mempunyai dokumen dan pasport yang sah.

Jelasnya, dengan tertangkapnya semua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 14 kes samun dan pecah rumah iaitu sembilan kes di Pahang, Terengganu (tiga kes) dan Negeri Sembilan (dua kes).

Beliau berkata, polis turut merampas alat-alat pecah rumah, barang kemas, beberapa utas jam tangan, 20 buah telefon bimbit, 16 keeping resit jualan barang kemas, tiga resit Money Ria Malaysia serta dua buah kenderaan iaitu Produa Bezza dan Myvi

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/394 Kanun Kesiksaan dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan suspek direman di bawah seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette