Mohan bersama Subramaniam yang mengambil masa 45 tahun untuk mendapatkan kad pengenalan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang lahir dan membesar di negara ini tanpa kedua ibu bapa akhirnya berjaya mendapat kad pengenalan setelah hampir 45 tahun hidup tanpa dokumen pengenalan sah.

Pada 18 Oktober lepas, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Subramaniam itu berjaya mendapatkan dokumen pengenalan Mykad yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Subramaniam yang lahir di Universiti Hospital Kuala Lumpur berkata, dirinya tidak mengenali ibu dan bapanya dan dibesarkan oleh kenalan di Kampung Taman Sri Puchong sehingga berusia 18 tahun.

Kata Subramaniam, beliau juga tidak mengenali ibu dan bapa sehingga usianya 35 tahun.

“Situasi ini juga menyebabkan saya tidak daftarkan apa-apa dokumen kelahiran dan memohon kewarganegaraan. Hanya ketika usia saya 35 tahun, saya telah mendapatkan bantuan Senator Datuk T. Mohan sekitar tahun 2013. Sejak itu beliau bersama saya bantu harung cabaran ini.

“Beliau dengan bantuan program MyDaftar Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF) telah membuat pendaftaran permohonan di JPN Putrajaya. Ibu saya yang dikenal pasti itu juga telah melakukan ujian DNA dan mengesahkan hubungan saya dan beliau.

“Susulan daripada itu, pada tahun 2020, akhirnya saya diberikan kerajaan surat beranak namun cabaran saya untuk mendapatkan tidak berhenti di situ sahaja sehinggalah pada tahun ini, 18 Oktober, hari paling penting buat saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Subramaniam lagi, berikutan ketiadaan dokumen sah seperti kad pengenalan, kehidupannya tidak ubah seperti pendatang di negara sendiri.

Dedah tukang rumput itu, kehidupannya dilalui tanpa hak asas seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan banyak lagi.

“Saya tidak dapat bekerja dengan gaji tetap, tidak ada akaun bank atau dokumen lain yang membolehkan saya ke mana-mana dengan bebas, perkahwinan saya juga tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak dapat didaftarkan, akhirnya isteri tinggalkan saya.

“Saya tidak boleh rumah sendiri, saya tidak dapat berbuat apa-apa pun selama puluhan tahun. Malah saya juga sering menjadi mangsa ‘pau’ polis tidak bertanggungjawab.

“Saya ada dua orang anak yang masih bersekolah. Akhirnya syukur kerana mimpi ngeri berlalu, terima kasih kepada semua terutamanya Datuk Mohan, kerajaan khasnya JPN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohan yang juga Naib Presiden MIC berkata, kerajaan hari ini diharap dapat memberikan pengampunan khas kepada golongan yang tidak mempunyai kad pengenalan atau surat beranak sebaliknya menganugerahkan kewarganegaraan kepada kes-kes sahih.

Cadang beliau, kerajaan boleh mewujudkan satu jabatan khas bagi menangani isu kritikal yang rata-ratanya dihadapi oleh masyarakat India di negara ini.

“Ketika zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau telah ambil inisiatif wujudkan SITF dan berjaya mendaftarkan sebanyak 11,300 permohonan kewarganegaraan. Daripada jumlah itu, 7,500 kes telah berjaya diselesaikan berbaki 3,800 terus tertunggak,” katanya. -MalaysiaGazette