Empat suspek warga asing yang mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa lesen dan permit kerja sah diberkas maritim selangor aal pagi tadi. Ihsan Maritim Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan yang didapati melanggar lesen apabila dikesan ia dikendalikan oleh warga asing yang gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kerja yang sah  oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor hari ini.

Bot nelayan berstatus kelas B1 itu berjaya ditahan Maritim Selangor ketika sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan di sekitar perairan Kuala Sungai Selangor lebih kurang pukul 1.20 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, bot nelayan itu dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris pada kedudukan lebih kurang 4.2 batu nautika barat Kuala Sungai Selangor dalam keadaan yang
mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar berumur lingkungan 18 tahun hingga 36 tahun yang kemudian berjaya ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Sharenliza, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot nelayan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu
menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasil soal siasat difahamkan kesemua suspek telah dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,600 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan laut.

“Turut ditemui di atas bot ketika penahanan dibuat ialah kira-kira 100 kilogram ikan campur,” ujarnya.

Kesemua mereka serta bot nelayan yang dirampas telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette