Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mesej jelas dan tegas kepada kuasa besar dunia Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara dalam Kesatuan Eropah (EU) bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh demi rakyat Palestin yang dizalimi dan dibunuh oleh rejim Zionis Israel.

Beliau yang memberi amanat di hadapan lebih 16,000 rakyat Malaysia yang membanjiri Axiata Arena di Bukit Jalil dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di sin malam tadi, memberitahu, AS dan kalangan negara Eropah mengecam inisiatif Malaysia yang lantang bersuara di pentas dunia terhadap hak kemanusiaan rakyat Palestin yang dicabul oleh Israel di tanah Gaza.

Bagaimanapun, beliau tidak akan sesekali takut atau berundur dengan ugutan atau apa jua kecaman dari negara-negara Barat yang menyebelahi rejim Israel yang mencabul hak dan kemanusiaan rakyat Palestin.

Katanya, Israel terlampau biadab selepas didokong oleh negara-negara Eropah serta AS ke atas tindakannya menyerang dan mengebom bangunan sehingga membunuh wanita dan kanak-kanak secara ganas.

“Saya dimaklumkan bahawa negara-negara Eropah da AS mengutuk serta mengecam tindakan saya  mengutuk serangan Israel di Palestin. Tetapi saya nak sebut di sini bahawa AS dan Eropah kamu salah pilih orang, saya tidak akan takut dengan ugutan kamu.

“Malaysia sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, mempertahankan kebebasan dan membuat keputusan sendiri terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan tetap lawan menentang sikap kejahilan, tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan rejim Zionis Israel,” katanya diiringi sorakan gemuruh malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2023.

Dalam himpunan sama turut hadir menyatakan solidaritinya adalah Menteri Pertahanan selaku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, pemimpin DAP, Steven Sim dan pemimpin UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam perkara sama, Ahli Parlimen Tambun itu juga mengingatkan beberapa pihak yang kurang bersabar mula menyerang beliau agar tidak menggunakan isu Palestin untuk memecah belahkan rakyat di dalam negara.

Beliau sebaliknya mengajak seluruh rakyat agar bersatu dan menguatkan perpaduan serta mempertahankan pembebasan rakyat Palestin.

“Saya nak sampaikan mesej ini kepada kawan kita tidak kira, Cina, India atau di Sabah Sarawak isu ini (Palestin) isu bersama, kerana orang nak bunuh wanita, anak kecil dan memusnahkan rumah dan hospital dengan bom mana mungkin kita bincang aman dan tenang dan terus bersama melawan kezaliman.

“Kekuatan kita sebagai satu suara dan rakyat Malaysia yang sentiasa mementingkan hak kebebasan, kemanusiaan inilah yang perlu dicontohi oleh AS dan negara-negara Eropah yang mendokong Israel sehingga zionis menjadi terlampau biadab dan membedil tanah Gaza.

“Dulu dia kecam Rusia kerana masuk Ukraine atas sebab adalah salah cabul dan tawan negeri lain serta bertentangan dengan kemanusiaan tetapi Israel langgar kesemua prinsip itu di Palestin tapi semua AS dan negara-negara Barat melelap mata dan semua jadi law of jungle,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden PKR itu juga menjelaskan lawatan terbaharu beliau ke negara-negara Arab untuk membincangkan dari hati ke hati mengenai isu Gaza bersama pemimpin-pemimpin negara Islam mendapat pujian mereka.

“Kita selalunya hanya membuat kenyataan mengutuk kekejaman dari jauh tapi dalam sejarah Malaysia, tapi kali pertama kita lihat denyupan nadi anak-anak buat keputusan kelilingi dunia Arab bawa mesej tegas kita melawan kejahilan.

“Yang paling penting, Mesir menyatakan kesediaannya untuk menerima bantuan kita untuk dihantar ke Gaza apabila sempadan dibuka nanti iaitu bekalan dalam 20 kontena setiap hari yang berjumlah 200 kontena bersedia untuk masuk ke Gaza membawa misi perubatan dan makanan.

“Hebat juga rakyat Malaysia kerana tegas mempertahankan hak rakyat di Palestin yang mana walaupun duduk jauh dari Palestin dan tanah Gaza tetapi setiap detik yang berlaku menyentuh hati nurani kita kerana kita tahu dan faham erti manusiawi, ehsan, keadilan dan melawan kezaliman Israel,” katanya.

Menurut Anwar, keadaan sekarang mungkin akan menjadi lebih parah bagi rakyat Gaza kerana keangkuhan dan kezaliman Israel yang didorong negara Barat membuka ruang luas untuk terus menyerang dan membunuh rakyat Palestin tidak berdosa.

Namun beliau menyatakan keadaan itu tidak akan berpanjangan dan masa depan Israel akan menjadi lebih malap atas sikap kejahilan dengan disokong AS dan Eropah yang tidak berperikemanusiaan.- MalaysiaGazette