LPP
Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kecil di bilik kabel bawah tanah yang menyebabkan bunyi letupan di Menara LPP, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kakitangan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, di sini, dikejutkan dengan bunyi seperti letupan dan bau hangit dari bahagian bawah bangunan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kejadian itu berpunca daripada kebakaran di dalam bilik kabel bawah tanah.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.09 petang menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat letupan di bilik elektrik.

“Hasil pemeriksaan anggota bomba bersama chargeman bangunan mendapati letupan berpunca daripada kebakaran kabel di dalam bilik tanah.

“Kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan dan tiada mangsa di lokasi. Kerja-kerja diserahkan kepada pengurusan bangunan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati semua kakitangan diarahkan berkumpul di tempat yang di luar bangunan dan mereka hanya dibenarkan masuk semula kira-kira pukul 3 petang.

Menurut saksi, kejadian mula disedari kira-kira pukul 1.40 tengah hari apabila terdapat bau hangit seakan-akan terbakar dari salah sebuah bilik di tingkat bawah bangunan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang dijadualkan menghadiri sesi taklimat tertutup bersama ketua-ketua pengarang agensi media pada pukul 2.30 petang di Menara LPP turut berada di lokasi kejadian.

Lokasi taklimat kemudian dipindahkan ke bangunan Jabatan Pertanian yang terletak bersebelahan atas faktor keselamatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast