Ahli Perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad hadir ke mahkamah bagi sebutan kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan mengaku tidak bersalah tuduhan menggunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,0000 antara tahun 2021 hingga 2022 di Mahkamah Sesyen hari ini.

Sebaliknya, ahli perniagaan itu mahu dibicarakan atas kesalahan mengeluarkan wang dari akaun peribadi CIMB Bank Berhad dan menggunakannya.

Pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pada 21 Februari lepas, Adam didakwa dengan satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat, merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Beliau didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan surat bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang bernilai RM47.8 juta.

Adam kemudian didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta pada 2021. – MalaysiaGazette