NEW YORK – Arab Saudi menyuarakan perasaan kecewa dengan sikap masyarakat antarabangsa yang dianggap inersia atau pasif dalam menyelesaikan krisis Palestin.

Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan mengkritik sekeras-kerasnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) kerana kegagalan badan itu  memainkan peranan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan global.

Dalam ucapannya, beliau dengan tegas mengutuk tindakan Israel yang menyasar orang awam.

“Kerajaan mengutuk secara tidak berbelah bahagi tindakan menyasarkan orang awam oleh mana-mana pihak,” tegasnya yang menggesa segera tindakan ganas Israeel yang melakukan pembunuhan.

Beliau juga mahu pembebasan tebusan dibuat serta pematuhan kepada konvensyen dan undang-undang antarabangsa dilaksanakan.

Menteri luar itu menegaskan sudah tiba masanya untuk UNSC menunaikan tanggungjawab dan masyarakat antarabangsa mengambil sikap tegas dan serius untuk menghentikan pencabulan Israel.

Dunia harus memastikan perlindungan untuk orang awam, menarik balik sekatan, memudahkan kemasukan pantas bantuan kemanusiaan dan mencegah malapetaka kemanusiaan.

“Majlis Keselamatan PBB telah gagal melaksanakan peranan yang dimandatkan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan global serta ketidakupayaannya untuk mencapai resolusi menangani krisis ini, di tengah-tengah pencabulan piagam antarabangsa yang berterusan oleh Israel.

“Ia termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti, mekanisme legitimasi antarabangsa dan mereka yang mempertahankannya, dan keupayaan mereka untuk mencapai keamanan,” katanya.

Menteri Luar Arab Saudi itu mengambil bahagian dalam sesi itu atas jemputan Menteri Luar Brazil yang kini mempengerusikan UNSC untuk bulan ini.

Putera Faisal menekankan dengan serius krisis semasa, termasuk dasar dwi standard, selektiviti dalam mematuhi undang-undang dan resolusi PBB yang boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa.-Agensi